loading...
Temerloh: Melaksanakan dakwah melalui aktiviti beriadah kelihatan sukar dilaksanakan, apatah lagi individu yang melakukannya perlu berdepan kebarangkalian konsep itu ditolak selain tidak mendapat sambutan orang ramai.
Bagaimanapun, kolam Tahfiz Wadi Al-Amin, Kampung Berhala Gantang, di sini yang beroperasi sejak tiga tahun lalu membuktikan tanggapan negatif itu tidak tepat berikutan kehadiran bilangan pengunjung tidak putus-putus terutama pada hujung minggu dan cuti persekolahan.
Ia sekali gus membuktikan aktiviti berdakwah masih boleh dilakukan dalam keseronokan pengunjung beriadah melalui penubuhan kolam mandi bercirikan Islamik itu.
Terletak enam kilometer dari bandar ini, kolam mandi yang lebih dikenali sebagai ‘kolam tahfiz’ dalam kalangan penduduk tempatan itu meletakkan syarat utama kepada pengunjung supaya menutup aurat serta mengenakan pakaian sopan bagi lelaki dan wanita.
Malah, demi keselesaan pengunjung Muslimah, pihak pengurusan menyediakan kolam mandi khas bagi wanita selain kolam umum dan kanak-kanak.
loading...