loading...
TERIMA KASIH NURSE
WAJAH - WAJAH NURSE MEMBANTU SEMASA HOSPITAL JOHOR TERBAKAR BARU INI !!
KOTA ISKANDAR - Dua jururawat dan seorang pelajar fisioterapi yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini akibat kecederaan dalaman setelah terhidu asap tebal dalam kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam, dilaporkan stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, ada daripada mereka sudah boleh bercakap dan menunjukkan pergerakan tangan.
"Insya-Allah... mereka akan beransur pulih tetapi tempoh pemulihan itu bergantung kepada tahap kemampuan mereka menghadapi cabaran (kesakitan)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Dato Jaafar, di sini hari ini.
Kebakaran pada kira-kira 9 pagi semalam yang turut mengorbankan enam pesakit yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA, dipercayai bermula di sebuah bilik rawatan yang terletak bersebelahan dengan ICU berkenaan.
Semasa kejadian, sebanyak 294 pesakit dan 193 kakitangan berada di bangunan berkenaan.
Beliau berkata, sehingga kini, 54 pesakit ditempatkan di HSI, 28 orang di Hospital Permai, Kempas dan selebihnya diletakkan di wad-wad lain di HSA.
Dalam perkembangan berkaitan, Ayub berkata keperluan ubat-ubatan dan bekalan darah di HSA selepas kebakaran semalam, masih lagi mencukupi.
"Mereka ada stok lagi. Cuma, seperti biasa tidak kiralah akibat kebakaran, kemalangan dan sebagainya, keperluan untuk mendapatkan sumber darah itu tinggi.
Jadi, saya merayu kepada orang ramai agar tampil menderma (darah)," katanya.
Sementara itu, beliau juga meminta rakyat agar mendapatkan penjelasan daripada sumber rasmi berhubung kejadian kebakaran di HSA.
Beliau berkata ini berikutan terdapat banyak berita palsu mengenai mangsa, telah tersebar secara meluas di laman sosial.
"Ada yang kata seorang jururawat sudah mati kemudian hospital terbakar lagi.
Ini merupakan antara tindakan yang tidak matang kerana ia akan mengguris perasaan keluarga mangsa, kedua, akan mengundang suasana panik dalam kalangan rakyat dan seterusnya juga akan menimbulkan masalah dalam kalangan warga hospital itu sendiri.
"Rakyat akan tertanya-tanya betul ke tidak dan penat kita menjawab bahawa itu adalah sesuatu yang tidak benar," katanya.
Ayub berkata, jika terdapat sebarang perkembangan, beliau sendiri akan membuat beberapa pengumuman selain pihak bomba dan pihak relevan lain. – Bernama
loading...